Langkau ke kandungan halaman

Ramai wanita mengalami pedih ulu hati (refluks asid) dan ketidakhadaman semasa kehamilan. Adakah anda tahu seramai lapan (8) daripada 10 wanita mengalami ketidakhadaman semasa kehamilan?[1] Dan ketika trimester yang ketiga, hampir tiga suku wanita hamil boleh mengalami pedih ulu hati. Sepanjang kehamilan, badan anda melalui banyak perubahan, dari segi fizikal dan hormon. Ada antara perubahan itu nampak ketara, manakala sebahagiannya tidak dan boleh memberi kesan kepada anda dengan cara yang tidak dijangka. Ketahui lebih lanjut mengenai sebab-sebab pedih ulu hati dan ketidakhadaman semasa hamil dan bagaimana anda boleh merawatnya.

Simptom-simptom pedih ulu hati & ketidakhadaman semasa kehamilan

Bermula dengan perubahan hormon di awal kehamilan yang memberi kesan pada cara otot penghadaman berfungsi sehingga ke tekanan fizikal oleh bayi yang menekan perut dan usus anda di akhir kehamilan, banyak faktor yang boleh menyebabkan masalah ini timbul. Simptom-simptom pedih ulu hati dan ketidakhadaman adalah sama bagi sesiapa sahaja yang mengalaminya, dan walaupun ia satu kebiasaan untuk mengalami simptom-simptom tersebut, ia tidak menyangkal fakta bahawa ianya boleh menyakitkan dan menjadikan kehamilan sesuatu yang menyukarkan pada badan.

Kebiasaannya pedih ulu hati dan ketidakhadaman adalah lebih ketara selepas makan, namun ada kalanya terdapat kelewatan sebelum simptom bermula. Tanda-tanda pedih ulu hati dan ketidakhadaman termasuk:

  • Rasa kembung atau kenyang
  • Loya atau muntah
  • Rasa pedih sensasi dalam dada anda

Walaupun terdapat kemungkinan untuk mengalami pedih ulu hati dan ketidakhadaman pada bila-bila masa semasa kehamilan anda, simptom-simptom mungkin menjadi lebih teruk semasa peringkat seterusnya kehamilan, dari minggu 27 dan seterusnya.1

Sebab-sebab pedih hulu hati & ketidakhadaman semasa kehamilan

Ketidakhadaman berlaku apabila asid perut bersentuhan dengan lapisan saluran penghadaman.1 Apabila asid perut bocor ke dalam esofagus anda, ia boleh menyebabkan pedih ulu hati. Apabila berlaku perubahan pada badan anda semasa kehamilan, anda akan lebih cenderung untuk mengalami simptom-simptom pedih ulu hati dan ketidakhadaman atas dua (2) sebab utama:

  1. Perubahan hormon pada badan anda.Lonjakan dalam hormon progesteron menyebabkan otot-otot mengendur. Ia termasuk sfinkter (gegelang otot) di laluan masuk ke perut. Apabila otot ini mengendur, asid perut boleh bergerak naik semula ke dalam esofagus (saluran makanan) yang menyebabkan pedih ulu hati.
  2. Tekanan terhadap perut. Semasa peringkat akhir kehamilan, simptom-simptom juga boleh disebabkan oleh bayi yang memberi tekanan secara fizikal pada saluran penghadaman ibu. Apabila bayi anda membesar, rahim anda yang turut semakin membesar boleh memberikan tekanan terhadap perut anda. Ini boleh membawa kepada simptom-simptom pedih ulu hati dan ketidakhadaman.

Ada beberapa langkah mudah yang anda boleh ambil bagi membantu melegakan simptom-simptom tersebut.

Bagaimana merawat pedih ulu hati dan ketidakhadaman semasa kehamilan

Sekiranya anda hamil dan mengalami pedih ulu hati, ianya penting untuk anda ingat bahawa anda tidak bersendirian dan anda tidak perlu untuk meneruskannya. Di bawah ini kita akan bincangkan sepintas lalu beberapa perubahan gaya hidup yang mudah yang boleh memberi kesan signifikan dalam mengurangkan simptom pedih ulu hati dan ketidakhadaman yang menyakitkan semasa kehamilan.

Cari dan Singkirkan Makanan Penyebab

Makanan yang berbeza memberi kesan kepada orang yang berbeza, maka ianya penting untuk mengetahui makanan apa yang menyebabkan simptom-simptom pedih ulu hati dan ketidakhadaman anda. Bagi mengetahui apa yang memberi kesan kepada anda, cuba sediakan diari makanan dan catatkan apa-apa makanan atau minuman yang membuat anda rasa tidak sihat.

Makanan tertentu telah dikaitkan sebagai penyebab pedih hulu hati dan ketidakhadaman. Anda mungkin mendapati bahawa mengelakkan makanan berikut akan membantu meringankan simptom pedih ulu hati dan ketidakhadaman:

  • Teh & Kopi
  • Coklat
  • Kola
  • Makanan bergoreng, berlemak dan pedas
  • Buah-buahan dan minuman sitrus1

Sasarkan pemakanan yang sihat dan seimbang. Cuba makan hidangan yang lebih kecil dan terkawal sepanjang hari, dan bukannya tiga (3) hidangan besar, juga boleh membantu mencegah simptom pedih ulu hati dan ketidakhadaman.1

Selepas makan, beri masa antara tiga (3) ke empat (4) jam sebelum berbaring atau masuk tidur. Memberikan badan anda masa yang cukup untuk menghadamkan makanan anda dengan betul boleh membantu anda untuk mengelakkan pedih ulu hati dan ketidakhadaman.1

Jangan merokok

Oleh kerana bahan kimia yang akan memasuki badan anda akibat menyedut asap rokok, wanita hamil dinasihatkan untuk mengelakkan diri dari merokok. Merokok semasa kehamilan anda bukan sahaja menyebabkan ketidakhadaman, tetapi ia juga akan memberi kesan buruk terhadap kesihatan bayi anda.

Bahan kimia ini boleh menyebabkan gegelang otot pada bahagian bawah esofagus anda mengendur. Apabila gegelang otot tersebut mengendur, asid perut boleh bergerak naik semula ke dalam esofagus (refluks asid) yang menyebabkan pedih ulu hati. Jika anda merokok, berhenti adalah perkara terbaik yang anda boleh lakukan untuk diri anda dan bayi anda.

Elakkan pengambilan alkohol

Pengambilan alkohol boleh menyebabkan simptom ketidakhadaman. Bayi anda juga cenderung untuk mengalami kecacatan kongenital yang teruk apabila terdedah kepada alkohol.

Wanita hamil dinasihatkan untuk berhenti meminum alkohol semasa kehamilan mereka untuk mengurangkan risiko terhadap bayi yang belum lahir. Selain pedih ulu hati dan ketidakhadaman, meminum alkohol pada tiga (3) bulan pertama kehamilan meningkatkan risiko keguguran.1

Pastikan Makanan Dihadamkan

Adalah penting untuk memberikan masa untuk badan anda menghadamkan makanan anda dengan betul apabila anda mencuba untuk mengelakkan pedih ulu hati dan ketidakhadaman. Oleh itu, anda harus memberikan diri anda tiga (3) hingga empat (4) jam selepas makan, sebelum anda berbaring. Berbaring dalam posisi mendatar memudahkan asid perut untuk bergerak naik semula ke dalam esofagus.

Duduk Menegak

Duduk dan tidur dalam posisi yang lebih menegak mempunyai banyak kelebihan. Berhati-hati dengan postur anda dan tegakkan bahagian belakang badan anda semasa anda makan dan untuk setengah jam lagi selepas itu. Ini boleh menjadi cara yang mudah dan senang untuk membantu mengelakkan ketidakhadaman ketika hamil kerana duduk dalam posisi ini akan mengalih tekanan dari perut anda – semestinya selagi mana anda selesa dan bahagian belakang badan anda mempunyai sokongan yang cukup.

Satu lagi perkara yang boleh dipertimbangkan semasa tidur ialah meletakkan sesuatu di bawah tilam anda, yang mana akan membuatkan bahagian atas badan anda lebih tinggi semasa tidur. Ini akan menyukarkan mana-mana asid perut untuk bergerak naik semula ke dalam esofagus anda semasa anda tidur menyebabkan rasa pedih yang menyakitkan dalam dada anda.

Jangan Membongkok

Pastinya, anda mungkin perlu membongkok untuk mengambil sesuatu dari masa ke semasa, selagi ianya selamat dan anda selesa untuk berbuat demikian, namun jika boleh cuba untuk membengkokkan lutut anda dan bukan membongkok menggunakan pinggang anda.

Pakai Pakaian yang Longgar

Selain ianya membuatkan anda menjadi lebih selesa semasa hamil, pakaian yang longgar juga memberi kesan yang lebih baik terhadap simptom-simptom pedih ulu hati dan ketidakhadaman. Pakaian ketat, terutamanya di sekitar pinggang boleh memberi tekanan pada perut anda, maka pakaian ibu hamil adalah pilihan yang baik dalam membantu mengurangkan simptom-simptom.

Pertimbangkan belian ubat di kaunter

Sekiranya beberapa perubahan gaya hidup ini masih tidak membantu, anda boleh mencuba pilihan ubat di kaunter dengan menghubungi penyedia perkhidmatan kesihatan. Sekiranya gejala teruk atau berpanjangan, anda harus berjumpa doktor atau ahli farmasi.

* Artikel ini bertujuan untuk tujuan pendidikan. Semua maklumat yang disampaikan tidak dimaksudkan untuk mendiagnosis atau menetapkan.

[1] http://www.nhs.uk/conditions/pregnancy-and-baby/pages/indigestion-heartburn-pregnant.aspx

Artikel diterbitkan 25 Mac 2021